Adat permainan, ada yang menang dan semestinya ada yang kalah. Makanan tu kalau bukan rezeki kita, dah nak masuk mulut tu pun boleh jatuh kalau terbersin masa nak suap. Begitu juga kalau ia bukan takdir kita atau jodoh kita, semua dah bersiap pun belum tentu jodoh akan bersatu selagi belum diijab-qabul, serta disaksikan wali dan mata-mata lain.

Intergriti… aku masih percaya semua masih Ok… tiada pakatan walaupun terasa juga pahit untuk ditelan keputusan yang malang ini.

Buat TRW, bergerak ke depanlah.. kalah kita bukan disebab kita kekurangan. Kalah kita kalah bermaruah. Perjuangan masih panjang. Selagi kita bertemu halangan, selagi itulah hidup kita penuh dengan perjuangan.

GKG

 

Hanya tempat ke-empat menjadi tumpuan Red Warriors tahun depan.

Beritanya dari sini

Dalam forum Kelate Dot Net, ada yang sinis menggelarkan ianya sikap pesimis, almaklumlah kehilangan 3 orang pemain ‘star’ baru-baru ini masih menjadi igauan sebilangan penyokong.

Aku ingat Tan Sri Annuar Musa ada membaca buku yang dikarya oleh Richard Templar yang berjudul “THE RULE OF WORKS”.

Aku melihat relevannya sedikit  mengwar-warkan target yang rasional dan tidak over-ambitious ialah salah satu tips yang masyhur dalam karya tersebut. Ia dipanggil

“Under Promised, Over Delivered”

 

Rakyat Malaysia amnya dan peminat filem P Ramlee sudah tentu masih mengingati satu babak dalam filem Nujum Pak Belalang, dimana teka teki dipertandingkan dengan sebuah negara dipertaruhkan dalam pertandingan tersebut. Antara soalan yang diajukan ialah;

Dimanakah terletaknya kehebatan Hang Tuah….?..di kerisnya ker ?…di bajunya ker ?..atau persilatannya ?…..sila jawab wahai Ahli nujum..

Memang semua sedia maklum yang kehebatan Hang Tuah dalam cerita tersebut disandarkan kepada huruf ‘T’ yang mana kalau huruf tadi digantikan dengan huruf ‘B’, ianya menjadi Hang Buah. Ini diterima dengan syarat ianya adalah untuk hiburan sedangkan semua maklum yang Hang Tuah merupakan suatu lagenda rakyat yang sangat handal ilmu persilatannya. 

Begitulah kiasnya dengan pasukan bolasepak Kelantan yang semakin gah dikenali sebagai Red Warriors. Baru memenangi Piala Malaysia buat kali pertama selepas menunggu lebih 89 tahun menjadikan Red Warrior menjadi semakin hebat di kalangan peminat bolasepak tempatan. Masih teringat ulasan pengulas TV semasa perlawanan bolasepak Sukan Asia tempoh hari dimana nama Kelantan yang baru memenangi Piala Malaysia sentiasa diulang-ulang apatah lagi semasa Khairul Fahmi, Chanturu atau Shahrul Idlan memegang bola atau menampilkan aksi yang cemerlang. Itulah impak apabila sudah bergelar juara dan itulah kehebatannya bila bermain untuk pasukan yang baru memenangi piala.

Persoalannya yang mungkin ditanya-tanya ramai ialah di manakan kekuatan pasukan Kelantan sehingga boleh bergelar Juara ? Siapakan yang menjadi tunjang dalam kejayaan 30 haribulan Oktober lepas ?  dan Siapakah yang paling berhak untuk dinobatlkan sebagai ‘JOGHO’ dalam konteks masyarakat Kelantan ?

Memang persoalan boleh menjadi persoalan sekiranya kita berusaha hanya menaikkan hanya satu nama sahaja.

Semua sudah sedia maklum yang Bolasepak adalah permainan sepasukan dan bukannya permainan individu. Oleh itu kehebatan Kelantan musim 2010 adalah ditunjani semua pihak samada yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung dalam sama-sama membentuk pasukan yang hebat. Kalau diberi pilihan, berikut adalah mereka-meraka yang layak untuk kita hamburkan pujian atau kita nobatkan sebagai Tunjang Bolasepak Kelantan 2010.

1.    PEMINAT DAN PENYOKONG RED WARRIORS

Memang banyak mulut sinis memperkatakan dengan sikap ‘Gedebe’ peminat bolasepak Kelantan dan agak kurang media massa yang memuji semangat sokongan dan paluan rebana ubi yang merancakkan stadium bolasepak tahun ini. Tetapi itulah hakikat yang nyata. Poket FAM dan persatuan negeri kembung dek kerana ‘semangat’ penyokong Red Warriors ini yang tak pernah letih untuk berkunjung di setiap stadium. Peminat Kelantan jugalah yang menghiasi warna-warna bolasepak Malaysia tahun ni.

 

2.    KAFA

KAFA memang layak untuk diberi pujian kerana telah berjaya menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Walaupun ada isu yang agak perlu diberikan tindakan segera seperti isu ulat tiket, tetapi secara keseluruhannya ianya berjaya membentuk pasukan yang mantap dan pengurusan yang terpuji.

 

3.    KERAJAAN NEGERI

Isu antara KAFA dan Kerajaan Negeri pula memang tiada jika difikir secara positif. Satu dua kenyataan yang telah kita dengar mungkin tafsiran media atau salah tafsiran kita kerana sepanjang pembacaan, ianya hanya bersifat teguran ingin saling mengingati bagi menjamin suasana yang mesra di kalangan pengurusan KAFA, Pemain, Penyokong yang berbilang fahaman politik dan semua pihak yang terlibat langsung dan tidak langsung . Juga kita sepatutnya bersyukur, satu sempadan telah digariskan antara pihak-pihak terlibat bagi mengelakkan campur-tangan tidak sihat berlaku dan seterusnya menjatuhkan  pasukan kita.

 

4.    TAN SRI ANNUAR MUSA

Faktor TSAM memang tak boleh dinafikan lagi dalam pembentukan pasukan Red Warriors yang mantap. Menang dan kalah memang adat permainan tapi mungkin dalam sesetengah perkara ‘ One Man Show ‘ memang perlu. Seperti bagaimana Kerajaan Uthmaniah yang menawan Konstantin dengan ketokohan Sultan Muhammad Al Fateh dengan strateginya, begitulah juga peranan TSAM setakat ini membolehkan kita menawan Piala Malaysia (Juga berkat keredhaan dariNya.. Alhamdulillah). Ketokohan TSAM juga perlu dalam menarik pemain bertaraf bintang disamping menjadi moderator antara pihak pengurusan, kejurulatihan dan juga pihak pemain.

 

5.    B SATHIANATHAN

Lupakan prosa “Liga Malaysia bukan suatu Liga Bolasepak” . Dek kerana keegoaan Sathia inilah antara penyebab kita berjaya. Memang sebelum ini kita sudah hampir tetapi pecutan penamat (Final Push) kita belum ada. Dengan sikap dan ego Abe Ya, keegoan pemain bintang akan tunduk  dengan pemain baru akan hormat. Itulah yang diperlu disamping taktikal yang mantap. Masih teringat pada permulaan Sathia melatih Kelantan, kita mungkin tersengih-sengih membaca komen status pemain Kelantan (dalam Facebook) yang muntah hijau selepas latihan kecergasan akibat dibelasah oleh Sathia dengan team kejurulatihan  malalui latihan yang berat.

6.    PANEL KEJURULATIHAN DAN PENGURUSAN

Seperti permainan wayang kulit, pasukan belakang tabir juga menjadi faktor terpenting. Dalam pasukan Kelantan, individu seperti Sdr Azman Ibrahim, Sidek Samsudin, Hashim Mustapha, Fisio kita, Kit Man dan juga Ground Man berjaya memainkan peranan mereka. Tanpa mereka yang menjalankan tugas sempurna, suasana yang kita tengok tidak akan menjadi sebegini.  

7.    PEMAIN RED WARRIORS

Masih teringat pada majlis memperkenalkan pemain yang dilakukan pada awal musim di Kelantan Trade Centre, semua peminat telah riuh rendah memperkatakan pandangan masing-masing di forum Kelate Dot Net , dengan masing-masing menyenaraikan kesebelasan utama pilihan masing-masing. Semua asyik memperkatakan tentang kemasukan pemain baru seperti Azizi, Subra, Syed Adney, Shahrul Idlan, Akmal, Hai-O dan tak lupa juga Shakir. Tapi yang nyata-nya, hanya tiga pemain sahaja iaitu Azizi, Sharul Idlan dan Shakir menjadi pilihan utama B. Sathianathan sepanjang musim disamping Subra pada peringkat awal liga.

Persoalannya adakah mereka bertiga saja dan kesebelasan utama lain yang perlu mendapat pujian. Tentu tidak bukan kerana kalau tidak kerana keheroan Syed Adney semasa saat genting Piala Malaysia menyelamatkan sepakan penalti di Petaling Jaya, nasib kita mungkin tidak sebegini atau gol tunggal Akmal semasa perlawanan tersebut sebenarnya memberi semula nafas baru kepada kita walaupun ketika itu kita hanya layak dengan menjadi naib juara kumpulan. Dengan kata mudahnya SEMUA PEMAIN KITA layak untuk diberi pujian dan penghargaan. Kesebelasan utama ada tugas yang perlu dilaksanakan dan pemain simpanan juga dengan misi mereka. Tiada yang penting melibatkan individu melainkan ianya untuk kepentingan sepasukan.

 

MUSIM DEPAN

Anugerah yang ditaja oleh 100 Plus baru-baru ini sebenarnya menambahkan perisa kemenangan kita tempoh hari. Dengan majoriti pemenang adalah dari Red Warriors, itulah dalil menunjukkan taraf pemain kita. Semua akan mencapai taraf bintang seperti mana ada ura-ura melekat satu bintang di dada jersey baru Kelantan nanti.

Memang ketika ini ramai peminat Red Warriors sedikit resah apabila mengenangkan Negeri Sembilan, Perak, Selangor serta pasukan lain begitu ghairah memancing pemain baru, ghairah mendapatkan penaja baru,  meningkatkan tahap pengurusan pasukan seperti yang dilakukan Perak dan lain-lain lagi.

Dengan Negeri Sembilan (juga Perak, T-Team dan Selangor) mengetuainya dengan memikat beberapa pemain ternama seperti Farizal Marlias, Ahmad Fakhri, Hai – O serta beberapa pemain kebangsaan lain, ia menjadikan Kelantan sedikit terkebelakang walaupun setakat ini telah juga memancing anak negeri untuk kembali memperkuatkan barisan Kelantan. Berita terbaru mengaitkan Indra Putra dan Farhan dengan T-Team juga boleh meresah dan melemaskan kita yang mungkin akan juga mula ‘bersiaran’ apabila kebanyakkan kontrak pemain liga Malaysia akan tamat pada 30 November nanti.

Walau apapun,  SETAKAT INI DAN MUNGKIN SELAMANYA , TIADA YANG LEBIH BESAR DARI MEMBERIKAN SOKONGAN KEPADA PASUKAN KELANTAN. Pemain pergi silih berganti, jurulatih hilang berlalu pergi, pengurusan menyepi akibat kalah undi, tetapi yang nyata SOKONGAN PEMINAT TIDAK AKAN BERBELAH BAGI.

SELAMAT MAJU JAYA UNTUK KELANTAN FA  MUSIM 2011 dan GOMO KELATE GOMO

Adios…

 

KITA RED WARRIORS TELAH JUARA PIALA MALAYSIA

Piala Malaysia telah selamat tiba di Kota Bharu dan hampir semua rakyat Kelantan berpesta mengenainya. Ini termasuklah juga rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan atau diluar negara sekalipun menjaja cerita samada di pejabat, kedai kopi, tapak pembinaan, di pelantar minyak, di dewan-dewan kuliah dan banyak lagi tentang kepuasan yang dialaminya setelah penantian selama 89 tahun terungkai di Bukit Jalil tempoh hari. Banyak cerita telah dilagukan samada ditambah atau dikurangkan, namun  ianya pasti  menghala tujuan yang sama iaitu Kelantan kini telah menjadi satu kuasa besar BOLASEPAK MALAYSIA.

Memang tahun ini 2010 telah menjadi sejarah baru bolasepak di Kelantan. Samada dengan cerita hebatnya pasukan kita atau ‘bersemangatnya’ penyokong Kelantan samada di bumi bertuah Kelantan atau di Stadium-stadium luar Kelantan.

KESINAMBUNGAN … Satu perkataan yang sangat diperlukan buat pasukan Red Warriors bermula sekarang. Semua peminat tidak mahu pasukan kita menjadi seperti Blackburn dizaman konglomerat Jack Walker dan dibantu pemain hebat Alan Shearer yang berjaya mengucup Liga Perdana Inggeris dan kemudiannya hanya banyak menghuni pertengahan liga. Kita juga tak mahu menjadi seperti pasukan Greece yang menang Piala Eropah dan kemudiannya gagal mengegar kuasa besar bolasepak seterusnya. Dan kita juga tak mahu menjadi seperti pasukan Malaysia yang hanya boleh bersandarkan pada kenangan lalu dimana suatu ketika hanya Korea Selatan dan Iran sahaja menjadi lawan yang setara ‘waima’ Jepun pun bukan lawan kita pada ketika itu.

Memang kita membuat pendakian yang panjang sebelum mencapai status seperti sekarang, dengan menjadi pasukan negeri pertama yang dihumbankan ke Liga FAM dan selepas itu satu demi satu tangga kita daki. Pada masa itu kita semua dipandang sepi, pemain tempatan yang bertaraf kebangsaan hanya memalingkan muka apabila ditawarkan kontrak dan pada masa itu, bermula dengan persetujuan Cikgu Jan dan pemanggilan pemain Kelantan yang bermain di luar, kita mula menggegar satu persatu.

Namun, jika kita melihat sejarah pasukan lain seperti pasukan Kedah dibawah Datuk Paduka Basri Akil, mereka mencuba hingga ke tahun ke-empat sebelum berjaya mengucup Piala Malaysia. Dengan Kuala Lumpur dan Singapura sangat dominan pada ketika itu, percubaan demi percubaan dilakukan barulah Kapten mereka Radhi Mat Din berjaya menjulang piala kebanggaan Bolasepak Malaysia. Berbanding dengan kita, hanya dua percubaan di pentas perlawanan akhir dan berkat doa semua, kita menggapai sejarah walaupun selepas tempoh 89 tahun.

Kejayaan ini bukanlah senang dan terlalu ‘direct’. Jadi pujian dan hamburan respek harus ditujukan kepada KAFA dengan pengurusan tertingginya. Begitu juga jurulatih dengan panel kejurulatihannya dan yang paling penting buat semua pemain Red Warriors samada yang masih dan juga telah meninggalkan pasukan kesayangan kita. Juga tak lupa buat semua semua penonton dan penyokong yang sanggup mengeluarkan wang dan menghabiskan masa menyokong pasukan Kelantan di mana-mana. Pihak sponsor juga tak harus dilupakan dan begitu juga semua Rakyat Kelantan yang bersatu hati tanpa mengira darjat, fahaman dan perkiraan dalam mendoakan kejayaan kita semua.

Jikalau ada satu golongan yang tak berhak atas pujian ini ialah PENCACAI bolasepak yang mana mereka inilah yang menghabiskan kantung duit KAFA untuk membayar  denda dan kerana merekalah juga rakyat Malaysia memandang serong tentang rakyat Kelantan. Kita tak lupa bagaimana ada artis ternama atau surat khabar harian utama yang mempersendakan kejadian ‘mercun’ dan ‘bakar’ dalam facebook mereka. Begitu juga Ulat Tiket yang masih bermaharajalela mengaut keuntungan dengan kesusahan orang lain. Tapi anggaplah ini semua bakal berjadikan kita semua lebih kuat dan lebih istiqamah pada masa-masa yang akan datang. Bola itu bulat dan yang di atas tidak semuanya akan terus di puncak namun yang penting sekarang, jadilah seperti padi, semakin berisi semakin tunduk hendaklah kita.

SO WHAT’s NEXT for RED WARRIOR… walaupun ini sebagai pandangan. Yang mana baik bolehlah diambil dan yang mana buruk, hendaklah dijauhkan. Yang mana hebat hendaklah diteladani dan yang mana kurang, memang itu kelemahan manusia yang tidak bersifat sempurna.

 

Pengurusan KAFA

Selaras dengan kemuncakkan pasukan kita, tempiasnya juga kena terhadap pengurusan KAFA. Ahli-ahli kehormat serta Presiden yang yang kita sanjungi tahun ini berjaya juga memegang tampuk utama Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM). Walaupun bukan teraju utama, tapi sekurang-kurangnya suara kita akan kedengaran dalam mesyuarat-mesyuarat FAM. Dalam tempoh satu minggu lalu, Presiden KAFA ada menyatakan persetujuan untuk meletak jawatan sekiranya ada yang berkelayakan berminat untuk menggantinya. Jawapannya untuk soalan tadi senang sahaja. TIADA YANG LAYAK BUAT MASA INI.

Jadi Pengurusan KAFA hendaklah bersatu hati kerana pengurusan yang baik menjadi tunjang kepada semua benda samada bagi menarik pemain-pemain bertaraf bintang menyertai Red Warriors atau menjadi alas bagi penyokong mengadu permasalahan mereka. Terdapat banyak benda yang boleh diperbaiki samada mengeratkan lagi hubungan dengan kerajaan negeri yang sedia tererat, membantu sama-sama membangunkan stadium yang ada atau membina stadium yang baru. Pihak KAFA juga patut menangkis masalah Ulat Tiket di stadium yang semakin bercambah dan patut sekarang membina prasarana untuk pembangunan bolasepak di peringkat akar umbi. Memang listnya sangat banyak untuk dituliskan namum kita patut realistik untuk ianya dapat dijadikan kenyataan satu persatu.

Antara yang boleh menjadi impak yang besar ialah menjadikan Kelantan Kelab Bolasepak Angkat kepada mana-mana pasukan ternama dunia ataupun peringkat Asia. Contoh program pertukaran pelajar di Institut Pengajian Tinggi antara universiti-universiti boleh dijadikan contoh. Kita patut hantar pemain-pemain muda menjalani latihan di kelab-kelab ternama lain atau menghantar panel kejurulatihan mempelajari taktik dan kehebatan Sains Sukan dalam membantu meningkatkan prestasi pemain dan pasukan. Selain daripada itu, KAFA harus mencari sponsor-sponsor yang lebih besar dan yang boleh membentuk win-win situation bagi kedua-dua belah pihak. Tidakkah kita mahu mempunyai stadium yang besar dan canggih seperti Stadium Emirates yang kos pembinaannya dibiayai oleh para sponsor.

Selain daripada itu, pihak KAFA bolehlah membentuk suatu entiti baru dengan impak perniaagan dianjak sedikit ke atas tanpa merendahkan passion penyokong kita dengan menaikkan harga tiket semata-mata ingin mendapatkan wang lebih. Merchandise Unit harus diberikan perhatian dan ingatla, slogan ‘Pertanian itu satu perniagaan’ bukan suatu omongan kerana kalau kena tempatnya ‘BOLASEPAK BUKAN SETAKAT SUATU PERNIAGAAN tetapi  SUATU LUBUK EMAS. Dalam hal ini, KAFA harus menumpukan yang dalam tempoh lima atau sepuluh tahun lagi, apungan di Bursa Malaysia harus dijadikan target yang sepatutnya realistik untuk dicapai.

 

Panel Kejurulatihan Red Warriors

Sepanjang mengikuti perkembangan bolasepak Malaysia dan Kelantan amnya, secebis nota yang patut diambil kisah ialah Kelantan akan naik atau mengegar bolasepak Malaysia sekiranya jurulatih luar mengemudi Kelantan. Bukan prejudis terhadap jurulatih rakyat Kelantan dengan Irfan Bakti sangat dihormati buat masa sekarang, tetapi itulah kenyataannya . M Karathu, Cikgu Jan, Butler, Abe Ya dan ramai lagi jurulatih luar berjaya memberi impak kepada pasukan.  Mungkin ego pemain kita agak tinggi dan jurulatih luar berjaya menyeimbangkan suasana itu dan memanipulasi kegoan pemain ke arah baik. Sebagai rumusan, kekalkan pasukan kejurulatihan yang ada. Walaupun dalam hati ingin melihat Sidek atau Hashim Mustapha mengemudi Kelantan, tetapi bukan semua berjaya jika diberi peluang itu. Tengok lah Brian Kid atau Queroz yang menjadi pembantu cemerlang Alex Ferguson tetapi hanyut apabila diberikan tugas utama. Maradona juga pemain legenda tapi kurang berjaya mengemudi pasukan walaupun ada pemain bertaraf hebat tahap ‘Gaban’.

 

Barisan Pemain Kelantan

Posisi penjaga gol mungkin tak perlu diberikan perhatian walaupun Syed Adney sudah membuat pengesahan meninggalkan kita dengan ada ruang yang perlu diisi. Namun Mat Chah atau pemain dari Piala Presiden boleh mengisinya. Dengan kata lain, kita hanya patut menggunakan resource tempatan. Contohilah Bayern Munich yang telah menetapkan yang keeper mereka patut diisi pemain tempatan. Dengan Khairul Fahmi sudah terbukti hebat musim ini dan pemilihannya ke skuad negara mengiakan keadaan yang sama, kita memang tiada masalah yang besar bagi posisi penjaga gawang ini.

Jikalau ditanya mengapa kita hebat pada tahun ini. Jawapannya adalah terletak pada pemain pertahanan kita. Masih ingatkah kita tahun lepas dengan pasukan penyerang yang berjaya membolosi gawang satu demi satu tetapi barisan pertahanan agak goyah melepaskan gol. Kemasukan Azizi sangat berkesan sambil tidak menafikan sumbangan Subra, Daudsu, Farisham, Ropi, Mat Yudi dan Rizal. Untuk tahun hadapan pembelian satu atau dua pemain lain amatlah perlu dan jika mungkin rezeki kita lebih untuk bertanding di peringkat Asia, kita mempunyai pemain seimbang menggalas tambahan perlawanan samada yang bermain di padang atau yang berada dibangku simpanan. Dengan pemain seperi Zamani Misbah yang ‘free’ ketika ini akibat pembubaran KL Plus, kita patut mengambil peluang yang ada walaupun ura-ura pemain dari Pahang yang hampir pasti dipikat Red Warriors.

Kesinambungan pertahanan yang hebat sebenarnya dicetuskan anak muda ini sebenarnya. Ibarat Makalele menahan asakan lawan samada di Real atau ketika di Chelsea, Shakir menjadi penyelamat dan boleh diibaratkan pembelian yang paling berbaloi tahun lepas selepas Mat Yo. Gaya pembacaan permainan yang mantap dibantu oleh kumpulan pemain tengah bertaraf hebat dengan Indra, Piyaa, Farhan, Chanturu kita boleh lah berdiri se gah sekarang. Pembelian K Soley akibat kelemahan pengurusan pasukan Perlis memang boleh menambahkan sengat pasukan kita. Tapi Sathia harus ingat yang kita perlukan pemain defensive midfielder tambahan dan tahun lepas Rizal dan Ezrie agak berkesan untuk itu beliau patut memberikan peluang pada mereka untuk sesi pemilihan. Selain daripada itu, konsep untouchable kepada dua pemain iaitu Indra dan Piyaa harus dibuang oleh Sathia dan sekiranya perlu, mereka juga patut berada dibangku simpanan apatahlah lagi sekiranya kudrat di atas padang telah pudar atau ada pemain lain yang lebih hebat. Saya sebenarnya masih terkilan kerana Kapten Kuala Lumpur tahun ini disambar Selangor kerana beliau antara terhebat musim ini disamping Baddrol Bakhtiar dari Kedah yang semalam membuat aku  janji untuk setia bersama Kedah untuk dua musim lagi.

Kehebatan penyerang kita tak boleh dinafikan lagi dengan Nor Shahrul Idlan menjadi penggempur utama namun ianya akan sampai bila. Berita Hai – O akan menyertai seteru kita N9 serta Akmal Rizal hampir pasti balik ke Lembah Klang sedikit menggusarkan. Kita kekurangan penyerang yang berpengalaman sebenarnya kecuali Che Muddin. Ailim, Rojo serta Nizzab Ayub belum mampu mengisi tampuk utama. Hanya Rojo yang agak menonjol dan mempunyai ciri-ciri penyerang utama tetapi kecederaan membatasinya musim ini. Dengan Buying Power yang boleh dikatakan tertinggi musim ini, Kelantan patut menambah satu atau dua penyerang lain atau mengupgrade Farhan sebagai penyerang seperti dalam pasukannnya terdahulu. Ingatlah semua penyerang terhebat mempunyai partner yang hebat. Kita boleh ambil contoh gandingan berkaliber untuk saling sokong menyokong seperti Romario-Babeto, Pippo-Del Piero, Ronaldo-Rooney, Beardsely-Shearer, Yorke-Cole, Henry-Berkamp, Drogba-Anelka atau ramai lagi termasuk di Malaysia kita ini.

Pemain Muda

Selain dari kisah pencacai bolasepak, kita agak terbelakang tahun ini dalam soal penerapan pemain muda. Mana perginya Ailim, Zamri, Hanif, Nizzab atau Rojo tahun ini ?. Hanya Apek menjadi penyelamat dalam kategori pemain muda ini. KESINAMBUNGAN yang diperkatakan di atas yang paling tepat untuk diperhalusi adalah mengenai peningkatan pemain muda ini. Jurulatih patut memberikan PELUANG … kemudian PELUANG dan seterusnya PELUANG untuk mereka ini merasai kancah permainaan di atas padang. Semua pihak samada KAFA, pasukan kejurulatihan dan semua ibubapa di Kelantan harus bangun dan sama-sama membentuk pasukan yang mantap dengan penekanan kepada pemain muda harus menjadi keutamaan. Biarlah kita sama-sama bergembira mengenai kemenangan Kelantan dalam pertandingan bawah 12, 16 dan 18 tahun. Begitu juga dengan kejuaraan Piala Presiden dan lain-lain pertandingan haruslah menjadi target setiap tahun.

 

DOA SEBAGAI IRINGAN

Sebagai pengakhiran, tahniah buat semua dengan kejayaan ini dan ingatlah perjalanan kita masih panjang. Juara Liga Super serta Juara Piala FA masih perlu dijadikan realiti. Semua pihak harus bersatu pada ketika ini dan melupakan sementara kejayaan ini dan menumpukan perhatian untuk masa hadapan. BERSEDIA UNTUK ESOK, BEKERJA KERAS UNTUK SEKARANG DAN MENGAMBIL TELADAN DARI HARI-HARI SEMALAM. Semoga Red Warrior terus cemerlang dan hanya doa dan sokongan dari kami buat iringan.

 

 

Mampukan Kelantan menapak sekali lagi ke Bukit Jalil pada tahun ini ? …. 

YA dan dan inilah dalilnya …

Stadium Sultan Muhamad-IV sekali lagi akan menjadi tuan rumah apa yang dikatakan pertemuan nostalgia apabila mungkin buat kali terakhir akan diadakan perlawanan pasukan keramatnya iaitu Red Warriors dengan Scoreboard manual. Ini berikutan langkah pihak berkaitan telah memutus dan meluluskan belanjawan untuk menukar kepada Scoreboard Elektronik bermula pada musim yang akan datang.

Sabtu ini jugalah seakan menjanjikan suatu pertemuan paling menarik dalam Piala Malaysia 2010 ketika finalis musim lepas iaitu Kelantan menanti Kedah selepas hari Rabu lalu seri tanpa jaringan di Stadium Darulaman untuk perlawanan pusingan pertama, separuh akhir Piala Malaysia 2010.

Memilih dan meramal pemenang untuk perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia ini seperti urusan mengorat awek bertaraf Lisa Surihani ….. PAYAH dan HAMPIR MUSTAHIL.
Kelantan dengan kekebalan di Stadium keramatnya dan sokongan padu penonton yang boleh dikatakan  penyokong terbaik bolasepak tempatan semenjak pasukan ini menjuarai Piala FAM beberapa tahun yang lepas. Semenjak dari itu dan dibantu oleh faktor kemudahan ICT, fan base pasukan Red Warriors telah berkembang dan menyihatkan kantung KAFA bagi membentuk pasukan yang mantap.

Kedah pula dengan kekentalan di gelanggang lawan seperti yang termaktub dalam pertemuan suku akhir di Kuala Terengganu dan juga kebangkitan/kekebalannya dalam permainan kalah mati seperti yang ditunjukkan dalam kejohanan Piala FA pada tahun ini.

Perlawanan Sabtu ini diibaratkan “Winner takes all” . Dengan N Sembilan sedikit goyah dan Johor FC  melangkah setapak untuk ke final. Perlawanan di Kota bharu sudah pasti akan menjanjikan pertemuan yang epik dan pemenangnya nanti sudah tentu akan menjadi favourite pada Final Piala Malaysia 30 Oktober nanti.

INSYA ALLAH, sekiranya KELANTAN @ RED WARRIORS muncul pemenang Sabtu ini , mereka akan melakukannya kerana lima alasan berikut:

1) Faktor Nor Shahrul Idlan

Kelantan menghadapi saat-saat sukar ketika menentang Selangor di suku akhir dan pusingan pertama di Kedah tanpa pemain kebangsaan, Nor Shahrul Idlan kerana penggantungan. Namun pemain penyerang itu akan memberikan impak yang besar kepada pasukan sekiranya berada dalam kesebelasan utama. Larian yang lincah dan tahap confident yang tinggi menyuntik adrenalin yang  berguna untuk serangan pasukan Kelantan. Bekas pemain T-Team itu telah menunjukkan mengapa dia begitu berharga bagi K Rajagopal selepas memimpin serangan pasukan kebangsaan setelah ketiadaan Zakuan Adha. Jurulatih Kedah pula sudah pasti akan memberi amaran kepada pemain beknya yang akan ‘berurusan’ dengan senjata pemusnah ampuh Kelantan  sambil mengharapkan defensive midfieldernya menyekat hantaran kepada Shahrul Idlan nanti.

2) Norfarhan dengan sentuhan magisnya

Banyak yang telah dikatakan tentang kurangnya kreativiti (tak konsisten) di bahagian tengah depan dalam skuad Kelantan dengan Piyaa dan Indra yang tidak seperti musim-musim yang lepas, tetapi Farhan Right Winger Kelantan  telah melakukan pekerjaan yang besar untuk membantu bahagian depannya menyerang.  Bintang Kelantan itu yang ada ‘ura-ura’ telah diintai pasukan lain untuk musim hadapan menjaringkan gol magis pada Separuh Akhir  musim lepas di Kangar setelah idola masa itu, Indra digantung permainannya. Begitu juga kegigihan Norfarhan untuk turun ke bawah mengutip bola bagi menukar arah permainan untuk mengancam kubu lawan begitu ditagih oleh B Sathianathan. Kemampuan turun kebawah memberi suntikan kepada pasukan dan  stamina yang tinggi untuk berlari ke depan pula memberikan ancaman pada lawan.

3) Tahap Keyakinan

Keyakinan adalah tinggi di kem Kelantan selepas kemenangan dengan Selangor tempoh hari dan rentetan itu sebenarnya bermula semenjak selepas 3 perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Malaysia tempoh hari. Memang PKNS dan KLPlus tidak lawan sekelasnya, tetapi Kelantan merupakan salah satu daripada hanya dua pasukan yang telah paling sedikit tewas pada musim ini bersama Selangor. Bermain di Stadium Sultan Muhamad –IV juga akan banyak membantu dan faktor pemain Kedah yang muda dan agak gugup menonjakkan lagi tahap keyakinan pemain-pemain.

4) Sudah sampainya waktunya Piala Malaysia singgah di Kota Bharu

Sabtu ini bukan kali pertama Kelantan dan Kedah bertemu untuk perlawanan yang segenting ini. Tahun 1993 membuktikan dan Piala FA musim ini menyaksikan betapa sengit pertemuan Kelantan – Kedah ini. Memang sebelum ini Kelantan tidak setenang kini, yang mengakibatkan kenangan buruk untuk Red Warrior di saat apabila sudah hampir untuk mengucup Piala Kemegahan dunia bolasepak Malaysia ini.  Dengan dua pengalaman menempuh perlawanan final musim lepas dan diperkuatkan dengan pertahanan yang mantap pada tahun ini, ianya menjadi pemangkin untuk merebut piala kemegahan Malaysia ini. Tempoh hampir 100 tahun semenjak Piala HMS Malaya, inilah antara peluang yang paling hampir buat Kelantan. InsyaAllah dengan doa semua dan pengurusan yang terbaik di pihak pemain dan kejurulatihan, mentari di awal bulan November 2010 ini bukan lagi membawa ‘November Rain’ tanda-tanda tengkujuh tetapi Piala keagungan bolasepak kita, Piala Malaysia.
 

5) Kuncian Padu untuk Perancang Kedah

Sebelumnya, Badrol Bakhtiar tidaklah sepopular Aidil yang berkahwin dengan artis atau seperti Azizol Abu Hanifah yang kariernya terhenti akibat kes rasuah. Begitu juga tidak se – glamour Amri Yahyah yang mampu membolosi gawang Manchester United. Tetapi semenjak masuknya kempen Piala Malaysia ini semuanya nampak ‘menjadi’ buat Badrol Bakhtiar ini.  Faktor kuncian ‘kilas-lipat’ kepada Bad inilah yang akan melumpuhkan serangan Kedah. Walapun Sabree Abu akan kembali kepada pasukan Kedah, tetapi ianya tidak sebahaya membiarkan Badrol ini mendapat bola. Jadi, Shakir Saari dan pertahanan haruslah membuat man-to-man marking dan sekiranya perlu, Kelantan perlu meletakkan dua defensive midfielder dengan Daudsu membantu Shakir mengekang asakan lawan. Kuncian yang sempurna seperti Mourinho melumpuhkan had gerakan Lionel Messi semasa Semi Final Champion League musim lepas  inilah yang yang paling penting bagi mengelakkan Kedah mendapatkan gol dan cuba menggunakan keputusan gol tempat lawan sebagai langkah untuk ke akhir nanti.

Visitors Since June 2008

© 2011 A Particle of Boredom Suffusion theme by Sayontan Sinha